Cinta Dunia

Ya. Kuantiti buih itu sangat banyak. Seperti kita. Ummat Islam hari ini



“Hampir tiba suatu masa di mana berbagai bangsa atau kelompok mengerubuti kalian bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah karena jumlah kami yang sedikit pada waktu itu?” 

Nabi  shallallahu alaihi wasallam menjawab, “(Tidak) Bahkan jumlah kalian pada hari itu banyak (majoriti), tetapi (kualiti) kamu adalah buih, laksana buih di lautan (banjir). Allah mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan menanamkan penyakit “al wahn”ke dalam hati kalian.

 Seseorang bertanya, “Apakah al wahn itu wahai Rasulullah?”



Rasulullah menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” 

(HR Abu Dawud).



Al-Wahn. Ya. Penyakit  Cintakan  Dunia Dan Takutkan Mati.



Bagi saya, yang dikatakan cintakan dunia ini ialah apabila kita suka dan cinta kepada apa sahaja kenikmatan dunia yang menjadikan kita lalai dan lupa kepada akhirat , lalai dan lupa kepada Allah. 

Atau lebih tepat, suka kepada keindahan dan kenikmatan dunia hanya kerana ia berasa nikmat dan indah semata-mata. 

Kadang, kenikmatan dunia ini menjadikan kita berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Kemudian, kita bermegah-megah pula dengan kehebatan dan keindahannya yang berjaya kita perolehi.  

Ahli keluarga yang menceriakan dan membahagiakan, keputusan peperiksaan yang cemerlang, kawan-kawan yang ramai dan sangat menyokong, masyarakat yang menyenangi dan menganjungi, fizikal yang indah dan mempersonakan, bakat-bakat yang mengkagumkan, tempat kediaman yang mewah, gajet-gajet yang berteknologi tinggi dan mengikut trend semasa, masa lapang yang tidak menyesakkan dan memenatkan, kerehatan yang mendamaikan dan banyak lagi.

Kita berlumba-lumba dan berbangga-bangga. 

Ya. Ujub. Takbur. Riak dan rasa angkuh dengan nikmat dunia yang sebenarnya bukan pun milik kita selamanya. Sekadar pinjaman dari Allah. Bila-bila masa dengan mudahnya ditarik semula olehNya.


Keindahan dunia cuma sementara.



Sedar ataupun tidak, penyakit ini sudah  terlalu banyak menyerang hati-hati kita sekarang ini. Penyakit ini makin menular dari segenap penjuru hati dan merosakkan benih-benih iman yang baru sedang bertunas dan meninggi di dalam hati.


Penyakit ini mungkin sahaja sudah bersarang dan memenuhi setiap inci dalam hati, namun kita masih tidak mampu menyedarinya kerana hati sedang terkunci mati.


Kadang, kita kurang dan jarang memeriksa hati sejelasnya. Kadang, kita jarang merefleksi setiap dari tindakan kita seperincinya. Kadang, kita sukar muhasabah diri dengan sedalamnya.

Ya, betapa kurangnya kita melihat semula hidup yang telah kita lalui dengan sia-sia dan penuh alpa.

Sedarlah diri, hidup di dunia ini sebentar cuma. Sekadar ladang tuaian untuk ke akhirat sana.



Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda,

   '' Untuk apa dunia itu!  Hubungan saya dengan dunia seperti pengembara yang berhenti rehat sejenak di bawah pohon, kemudian pergi dan meninggalkannya.” (HR At-Tirmidzi)

'' Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.”
 (QS Al-Ankabut [29] : 64)
 



Ya, akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan. Pandanglah dunia dari kaca mata akhirat nescaya akan dapat kita melihat betapa tiada ada apa-apapun dunia ini selain hanya persinggahan seketika sebelum ke kehidupan sebenar yang selama-lamanya di sana.




Al-imam sufyan al-tsauri r.hm. berkata:


 “ Telah sampai kepadaku bahawasanya akan datang satu masa kepada umat manusia di mana pada masa itu semua hati-hati manusia dipenuhi oleh kecintaan terhadap dunia, sehingga hati-hati tersebut tidak dapat dimasuki rasa takut terhadap Allah s.w.t. Dan itu dapat engkau ketahui apabila engkau telah memnuhi sebuah bakul kulit dengan sesuatu hingga penuh, kemudian engkau cuba memasukkan barang lain ke dalamnya namun engkau tidak mendapati ruang untuknya lagi.”


Beliau berkata lagi : “ Sesungguhnya aku benar-benar dapat mengenali kecintaan seseorang terhadap dunia berdasarkan cara penghormatannya terhadap ahli dunia.



 (Mawa’izh al-imam sufyan al-tsauri, hal 120)

Maka, sedarlah kita, semakin kita mengagung-agungkan dunia,  ahli dan isinya, terbukti, semakin kita mencintainya.

Berani saya katakan, cinta dunia seseorang itu boleh diukur dari sesibuk dan serakus mana dia menguruskan dunianya kerana takut dunia pergi dan hilang darinya. Jika dunia meninggalkannya walau sesaat, dia akan sangat berduka dan kecewa. Dia akan berasa sangat malang dan kehilangan. Maka itulah buktinya betapa dia cinta  kepada dunia.

Penutup


Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

 (QS  al Hadid [57] : 20)

Justeru, mari sama-sama kita melihat hati dan diri kita. Bukankah masih subur dan rimbunnya cinta kita kepada dunia?  

Peringatkan diri, dunia yang indah ini hanyalah didatangkan Allah untuk menguji. Tinggalkanlah, kerana ia hanyalah kesenangan yang hanya akan menipu diri.


Hasan al-Basri mengatakan: ” Jauhilah dunia ini karena ia sebenarnya serupa dengan ular, licin pada perasaan tangan, tetapi racunnya mematikan.


p/s : terus doakan saya. ya.


Comments

  1. nice one!memang terkena dengan saya sekarang ni. thankssss.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..prkongsian yg mnyentuh hati yg kontang..tak sangka bnda2 yg dtulis tu wahn jgk.buatkn diri ini brfikir kmbli..syukran!

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete

Post a Comment

Popular Posts